Anzalna Nasir Bangga Bapa Pegang Jawatan CEO Finas, Anggap Tanggungjawab Besar Perkasa Industri Filem

PELAKON Anzalna Nasir meluahkan rasa syukur dan berbangga dengan pelantikan bapanya, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu berkuatkuasa Isnin.

Kata Anzalna, 33, sebagai anak dia gembira dengan pengumuman itu dan menganggap ia merupakan satu tanggungjawab besar dalam memperkasakan industri perfileman negara.

“Alhamdulillah. Congratulations dad! I’m so proud of you. Sebagai anak, tumpang gembira.

“Ini adalah tanggungjawab, amanah besar dan teamwork semua pihak yang akan bersama-sama memacu industri filem kita. InsyaAllah,” katanya menerusi Instagram.

Md Nasir, 62, dilantik sebagai CEO baharu Finas bagi tempoh dua tahun sehingga 30 Oktober 2023.

 

Anzalna Nasir luah rasa syukur dan bangga pencapaian bapa.

Perkara itu diumum Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi satu kenyataan media.

Pelantikan Md Nasir bagi menggantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang meletak jawatan dan mengakhiri tugas berkuatkuasa 15 Oktober 2021 lalu.

Ini adalah tanggungjawab, amanah besar dan teamwork semua pihak yang akan bersama-sama memacu industri filem kita!

ANZALNA NASIR

PELAKON

Ahmad Idham memegang jawatan sebagai CEO mulai Mac 2020.

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek dalam satu kenyataan berkata Md Nasir berpengalaman luas dan ketokohan dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan dalam seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Anzalna harap industri filem memacu kejayaan di bawah kepimpinan bapanya.

“KKMM yakin kepakaran dan pengalaman luas Dr Md Nasir dalam bidang industri kreatif, khususnya seni budaya mampu memacu Finas sebagai badan peneraju untuk menggalak, memelihara dan menyumbang kepada kemajuan industri perfileman negara.

“Saya percaya sinergi antara beliau dan Ahli-Ahli Perbadanan Finas akan terus memantapkan hala tuju, perancangan dan pelaksanaan yang lebih komprehensif bagi melonjakkan industri filem serta ekonomi kreatif di peringkat tempatan serta antarabangsa,” katanya.

Md Nasir mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.

Md Nasir yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Sains Malaysia pada 1986 adalah bapa kepada lima anak perempuan termasuk pelakon, Anzalna, Afifah dan Mia.

Sumber: mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *